Saturday, November 30, 2013

Aura SuperMokh (Mokhtar Dahari)

MUNGKIN sekarang ini ramai generasi baru yang sudah tidak mengetahui kejaguhan dan kehebatan penyerang bola sepak terhebat negara Allahyarham Datuk Mohamad Mokhtar Dahari.

Apatah lagi dengan kesuraman industri bola sepak selepas beliau pergi mengadap Ilahi pada 11 Julai 1991. Seolah-olah badi prestasi pasukan bola sepak kebangsaan yang terumbang -ambing sejak pemergian beliau itu masih berterusan sehingga kini tanpa sebarang pengganti.

Walaupun sudah lebih 20 tahun beliau pergi meninggalkan kita namun prestasi dan kehebatan pasukan bola sepak negara masih di takuk lama membuatkan Allahyarham terus dikenang sebagai penyerang legenda yang belum punya pengganti.

Maka tidak hairanlah berikutan kehebatan dan ketangkasan beliau, gelaran SuperMokh sering meniti di bibir kerana kecemerlangannya menjaringkan banyak gol sepanjang kariernya.

Namanya tetap terpahat sebagai legenda bola sepak kebangsaan ekoran sumbangannya ketika mewakili Malaysia dari 1972 hinggalah 1985.

Walaupun generasi muda masa kini tidak begitu mengenali bintang negara itu, tapi hampir pasti kebanyakan kita pernah mendengar namanya, sebagai pemain dengan bakat semulajadi yang mengangkat imej Malaysia setaraf dengan jaguh bola sepak dunia.

Kelebihan dimiliki Supermokh yang menjadi igauan kawan dan lawan adalah sepakan deras bak peluru yang menjadi pemusnah utama dalam merobek gelanggang lawan.

Malah dikatakan tiga jari mendiang R. Arumugam, bekas penjaga gol negara pernah patah ketika cuba menampan tendangan kencangnya. Itu belum dikira kelicikan dan tindakan pantasnya yang bijak membaca kelemahan pertahanan dan gerakan lawan bagi memudahkan beliau meloloskan diri sebelum melakukan penyudah cemerlang untuk memastikan kemenangan pasukan.