Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman melahirkan rasa bangga dengan penyokong Sarawak yang diiktirafkan sebagai antara yang terbaik di Malaysia.
Katanya, semangat yang ditunjukkan oleh penyokong-penyokong Sarawak menjadi inspirasi kepada pasukan Ngap Sayot sepanjang saingan musim ini dan beliau berharap akan berterusan pada musim depan.
“Memang sukar hendak melihat penyokong-penyokong yang cukup setia seperti penyokong kita di negara ini.
“Saya berasa sangat bangga dan ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua peminat setia pasukan Sarawak dan penyokong-penyokong, justeru saya berharap mereka (penyokong) akan terus berjuang bersama-sama pasukan Sarawak sampai bila-bila.
“Bagi pihak FAS, kita akan terus berusaha memastikan pasukan Sarawak melakar lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya di sini semalam.
Sudarsono juga berharap pasukan Sarawak yang baharu dibentuk akan memberi cabaran terbaik pada saingan Liga Super 2014 nanti.
“Ini adalah era baharu bagi Sarawak dan saya percaya kita sedang di kemuncak kegemilangan sejak mula melibatkan diri dalam kejohanan berprestij pada 1980-an,” katanya.
Menurutnya, jualan tiket dan produk Ngap Sayot yang sentiasa laris setiap kali perlawanan berlangsung menjadi penanda aras bahawa Sarawak mempunyai penyokong tegar yang wajar mendapat pujian.
“Saya tahu para penyokong tidak sabar untuk menunggu musim 2014 bermula. Justeru, saya juga berperasaan begitu dan berharap musim depan akan memberi lebih banyak kejayaan buat kita,” katanya.
Sarawak kembali ke kancah Liga Super setelah menjuarai Liga Perdana 2013 dengan rekod tanpa kalah.
“Para pemain juga tidak sabar untuk memulakan musim baharu setelah berehat selama tiga minggu.
“Saya yakin, gabungan pemain lama dan baharu ini cukup mantap untuk membawa kita ke mercu kejayaan musim depan,” jelas Sudarsono.
Liga Super 2014 akan bermula pada 18 Januari tahun depan.