Thursday, November 28, 2013

BOTAK CHIN


DALAM sejarah negara kita, antara ketua samseng yang sering dikaitkan dengan kongsi gelap adalah Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin yang aktif melakukan rompakan ala ‘Robin Hood’ sekitar 1970-an.
Botak Chin merujuk kepada gabungan tiga perkataan ‘Bo Tak Chin’ dalam dialek Hokkien yang membawa maksud Cina tiada kerja.

Botak Chin adalah seorang yang kejam apabila sanggup membunuh orang kanan yang cuba melawannya dan tidak teragak-agak menembak mati anggota kumpulannya sendiri yang disyaki menjadi pengintip
polis.

Dia juga cuba membunuh Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ketika itu, Deputi Superintendan, S. Kulasingam di lampu isyarat Jalan Davis-Jalan Pekeliling pada 22 November 1975.

Akhirnya dengan maklumat anggota kumpulan itu yang belot, Botak Chin dan kuncu-kuncunya berjaya ditangkap polis dalam satu serbuan di sebuah kilang papan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 16 Februari 1976.

Pada 12 Mei 1980, lelaki bujang berusia 27 tahun ini didakwa mengikut tiga pertuduhan termasuk memiliki senjata api, peluru dan bom tangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan kemudiannya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Ketika menunggu hukuman mati dilaksanakan, dia bertindak menyerang dan mencederakan warden penjara dengan senjata tajam sebanyak dua kali. Botak Chin dihukum gantung sampai mati pada pukul 3 pagi, 11 Jun 1981 di Penjara Pudu, Kuala Lumpur.