KUCHING: Sarawak akan menguji lima pemain import baharu pada sesi latihan yang bermula hari ini.
Menurut sumber, identiti lima pemain itu bagaimanapun masih belum dipastikan dan sebahagian daripada mereka juga dijangka tiba di sini esok.
Sarawak masih belum mengikat mana-mana pemain import luar untuk mengharungi Liga Super 2014.
Sebelum ini, mereka berminat untuk mengambil bekas pertahanan Bayern Leverkusen, Manuel Friedrich namun beliau kembali berhijrah ke Jerman untuk menyertai Borussia Dortmund.
Sarawak juga masih belum memutuskan samada mahu menggunakan khidmat bekas penyerang Australia Ryan Griffiths yang bermain dengan kelab Beijing Baxy dalam Liga Super China musim 2013.
Hanya penyerang Bosnia Muamer Salibasic masih dikekalkan dalam skuad sementara pertahanan Cameroon Guy Bwele digugurkan.
Setakat ini, Sarawak telah mengikat Akmal Rizal Ahmad Rakhli, 31, (penyerang), Reeshafiq Alwi, 31 (tengah), Mohd Lot Abu Hassan, 29 (penyerang), Mohd Rashid Aya, 22 (penyerang), S Chanturu, 25 (sayap) dan Mohd Fadzley Abdul Rahim, 26 (penjaga gol).
Manakala pemain yang digugurkan dan berpindah ialah Bobby Gonzales, Azizan Baba (penyerang), Mohamad Sahran Abdul Samad, Shahrul Abdul Malek (tengah), Guy Bwele, Fareez Tukijo (pertahanan) dan Saiful Amar Sudar (penjaga gol).
Sementara itu, kesemua pemain akan mula menjalani latihan sebagai persediaan siri jelajah ke ke Batu Malang, Surabaya, Indonesia pada 7-20 Disember depan.
Mereka termasuk pemain import tempatan yang baharu menandatangani kontrak dengan Sarawak.
Bagaimanapun, Ashri Chuchu dan Junior Eldstal tidak akan menyertai siri jelajah tersebut kerana komitmen dengan skuad Harimau Muda di Sukan SEA ke-27 di Myanmar.
Sepanjang jelajah tersebut, Sarawak akan mengadakan empat perlawanan persahabatan dengan kelab tempatan