Saturday, November 30, 2013

PERSONA lebih murah akan dikeluarkan

Proton Holdings Bhd. (Proton) mengorak langkah dalam pengeluaran kereta pada harga terendah di negara ini dengan melancarkan model terbaharunya, Persona SV.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim berkata, Persona SV yang dijual menerusi tawaran harga dari RM44,938 hingga RM47,938 dengan pakej bayaran bulanan serendah RM388, dilengkapi ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan selain pemanduan lebih mantap.

Menurutnya, varian terbaharu yang didatangkan dengan tujuh warna pilihan itu dilengkapi dua beg udara, empat brek cakera, brek anti kunci (ABS) dan kuasa brek elektronik (EBD) di samping penalaan casis Lotus.

"Sejak model Persona dilancarkan pada 2007, lebih 500,000 buah kereta telah dihasilkan.

"Ini merupakan satu pencapaian yang baik kerana bukan mudah sebagai sebuah syarikat tempatan untuk mencapai jualan seperti ini.

"Persona SV ini dilancarkan sempena meraikan kejayaan itu dan selepas sambutan baik yang diterima pihak kami terhadap Proton Saga SV yang diperkenalkan dengan harga lebih kompetitif pada pertengahan tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Persona SV sempena Karnival Proton di Stadium Shah Alam di sini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif DRB Hicom, Datuk Mohamed Razeek Md. Hussain.

Karnival Proton yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini turut memberi peluang kepada pengunjung menyertai pelbagai aktiviti antaranya pandu uji kereta model Proton, jualan alat ganti tulen Proton.

Orang ramai juga berpeluang bertemu dengan pelumba drift negara, Tengku Djan Ley.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (Komersial) Proton, Hisham Othman memberitahu, pihaknya menyasarkan jualan Persona SV sebanyak 2,400 buah sebulan, ekoran harga menarik berbanding kereta sedan sekelas dengannya yang berada di pasaran.

"Namun kita optimis bahawa jualan Persona SV dijangka melebihi sasaran ditetapkan.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada permintaan tinggi terhadap model Proton Saga SV sebelum ini yang merupakan usahanya untuk menawarkan harga kereta yang lebih kompetitif.