Tuesday, December 10, 2013

Rumah pusaka tinggal tangga

Foto

KEMAMAN: Bagaikan tsunami kecil apabila sebuah rumah dihanyutkan arus sejauh hampir 100 meter dan hanya meninggalkan tangga di kediaman asal seorang buruh yang dilanda banjir di Kampung Air Putih, Chukai, dekat sini.

Abdul Azam Mat Aris, 54, kini bukan sekadar hanya tinggal sehelai sepinggang malah sudah tidak berbumbung lagi apabila air naik mendadak sehingga meranapkan rumah pusaka didiaminya, sejak berusia lapan tahun.

"Ketika kejadiaan saya sedang minum di sebuah kedai makan berhampiran dan dikejutkan orang ramai memberitahu air Sungai Kemaman naik mendadak sehingga melimpah ke kampung kami.

"Dalam kekalutan menyelamatkan diri, saya tidak terfikirkan rumah dan hanya fikir mahu selamatkan diri dengan berlari ke tempat tinggi di sekolah meredah banjir setinggi paras pinggang," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, walaupun terkilan kerana gagal menyelamatkan barangan di rumah yang dihuni seorang diri itu, dia bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri.


Katanya, dia kini buntu memikirkan masa depannya, apatah lagi tinggal sebatang kara tanpa mempunyai pendapatan tetap dan masih tinggal di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Putih, dekat sini.

Sementara itu, tinjauan ke kampung berkenaan mendapati, ramai penduduk yang mula pulang ke rumah bergotong-royong membersihkan kediaman masing-masing.

Pelbagai barangan seperti peralatan elektrik, perabot, kenderaan dapat dilihat jelas terdampar di segenap ceruk kampung dan diselaputi lumpur serta rosak.

Meskipun letih mengemas rumah, senyuman masih terukir di bibir penduduk di beberapa kampung berhampiran yang terjejas akibat banjir antaranya Kampung Air Putih, Kampung Teladas dan Kampung Pasir Gajah.

Meteor Geminids bakal terangi langit Malaysia

Kuala Lumpur: Langit Malaysia diterangi juraian hujan meteor Geminids mulai Jumaat ini hingga 17 Disember, menurut Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) semalam.

Dianggarkan, kira-kira 120 juraian meteor sejam dapat dilihat pada masa kemuncaknya yang bermula dari awal pagi 13 Disember hingga 14 Disember ini.

“Titik meteor Geminids adalah daripada buruj Gemini yang berada di langit Malaysia sejak September lepas hingga April tahun depan.

“Pada tahun ini, kenampakannya tidak begitu baik kerana waktu kemunculannya sama dengan fasa bulan hampir purnama (91 peratus penuh),” demikian menurut kenyataan itu.


Mereka yang berminat menyaksikan hujan meteor boleh berbuat demikian dengan memandang ke arah timur laut selepas waktu tengah malam hingga subuh di kawasan lapang dan gelap.

3 tak cukup

Hulu Klang: Dia sudah mempunyai tiga isteri dan 10 anak, namun masih belum puas melayani kehendak nafsu apabila tergamak merogol remaja baru berusia 13 tahun.

Taktik lelaki berusia 55 tahun itu ialah menjadikan mangsa anak angkatnya dan mengumpan dengan wang apabila memberi belanja RM300 sebulan selain selalu menambah nilai kad prabayar telefon bimbit gadis berkenaan.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Maz, 13, berkata, dia mengenali lelaki terbabit yang dipanggil ‘papa’ melalui beberapa rakan sekolahnya tahun lalu.

Menurutnya, rakan memberitahu lelaki itu baik hati dan suka mengambil pelajar sebagai anak angkat.

Bagaimanapun, katanya, pada pertengahan Oktober lalu, suspek membawanya ke sebuah hotel di kawasan Selayang, dekat sini, kira-kira jam 8 malam dan memaksanya mengadakan hubungan seks.

Monday, December 9, 2013

Perah kudrat lawan laut

Foto

Melaka: “Kami mendayung menggunakan pelbagai peralatan termasuk bekas makanan dan dayung buatan sendiri serta memerah segala kudrat yang ada untuk sampai ke pesisir pantai, ditambah pula jurulatih sentiasa memberikan semangat supaya tidak berputus asa.

“Dengan kuasa Allah, petang semalam (kelmarin) selepas tiga kali dibaiki, akhirnya enjin bot berfungsi semula sebelum kami bergerak menuju ke pantai berpandukan pergerakan kapal dagang,” kata pelatih komando berusia 20-an dari Kem Sungai Udang di sini, semalam.

Dia antara 13 anggota tentera berusia 19 hingga 23 tahun terdiri 11 pelatih komando serta dua jurulatih mereka yang dilaporkan hilang selepas bot jenis Assault yang mereka naiki dipukul ribut dan ombak ketika menyertai latihan mendayung dari pantai Kem Sungai Udang ke Pulau Nangka, malam Sabtu lalu

Kehilangan kumpulan itu disedari 32 anggota dan seorang pegawai yang turut sama menyertai latihan berkenaan menggunakan empat bot berlainan selepas mereka mendarat di Pulau Upeh, jam 12.30 tengah malam hari kejadian.


Bagaimanapun, selepas 28 jam hanyut di perairan Selat Melaka, semua mangsa tiba di pesisir pantai berhampiran Jeti Tanjung Beruas, Pantai Puteri di sini, jam 12.50 pagi semalam.


Nama semua mangsa tidak dibenarkan disiarkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pelatih terbabit berkata, kejadian jam 10 malam itu mengakibatkan bot terbalik dan mereka berenang ke arah bot dalam keadaan laut bergelora sebelum berpaut pada badan bot berkenaan.

“Jurulatih mengarahkan kami supaya tidak berpecah dan dengan menggunakan segala ilmu dan kepakaran ketika menjalani kursus asas komando, kami berusaha menterbalikkan bot berkenaan.


“Disebabkan semua dayung hilang, kami membuat layar supaya dapat ke pesisir pantai, tetapi angin dan ombak membawa bot hanyut ke tengah laut hingga hampir memasuki perairan antarabangsa,” katanya ketika ditemui di Hospital Kem Terendak, semalam.

Mereka yang mendapat rawatan di hospital itu menerima kunjungan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob. Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.


Seorang lagi mangsa berusia 20-an berkata, mereka yang bertolak dari pantai Kem Sungai Udang pada petang Sabtu lalu dijadualkan tiba di Pulau Nangka jam 5 pagi.


“Berbekalkan semangat kerjasama yang kuat, kami memperbetulkan semula kedudukan bot yang terbalik, namun ketua mengarahkan hanya lima orang berada dalam bot pada satu-satu masa manakala yang lain berpaut pada badan bot bagi mengelakkan ia terbalik semula.


“Kami bertukar kedudukan untuk menyimpan tenaga dan pelbagai usaha dilakukan dan menggunakan segala ilmu dan kemahiran yang dipelajari ketika kursus.


“Alhamdulillah, selepas beberapa kali mencuba enjin bot akhirnya dihidupkan dan kami terus bergerak ke pantai,” katanya

Gaji permulaan tinggi untuk penjawat awam PHD dan Sarjana


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menetapkan gaji permulaan yang lebih tinggi sebagai insentif untuk penjawat awam yang mempunyai kelayakan akademik Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana meliputi 33 skim perkhidmatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata 33 skim perkhidmatan gaji tersebut termasuk pensyarah universiti, pegawai teknologi maklumat, pegawai penyelidikan, akauntan, pegawai kanan polis serta pegawai tadbir dan diplomatik.

Bagi pegawai yang sedang berkhidmat dan masih berada di gred lantikan, dan kemudiannya memperoleh kelulusan akademik tersebut, beliau berkata kerajaan akan turut menawarkan insentif hadiah kenaikan gaji (HKG).

"Ini adalah khusus bagi skim-skim perkhidmatan seperti pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai perkhidmatan pendidikan lepasan diploma," katanya.

kepada soalan Senator Baharudin Abu Bakar pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Teks jawapan Najib dibaca oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berhubung soalan mengenai langkah pemberian insentif khas kerajaan kepada penjawat awam yang mempunyai kelulusan akademik di peringkat PhD dalam bidang-bidang kritikal kepada pembangunan negara.

Selain itu, Najib berkata Lembaga Kenaikan Pangkat akan menimbang pegawai yang layak bagi urusan kenaikan pangkat berdasarkan sistem merit.

"Pegawai yang mempunyai PhD mendapat kelebihan dalam proses pertimbangan ke sesuatu jawatan kenaikan pangkat.

"Sebagai contoh, bagi pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah di Kementerian Pendidikan Malaysia, pegawai dinaikkan pangkat melalui Laluan Cemerlang yang mengambil kira kelayakan akademik termasuk PhD dan pengalaman yang dimiliki," katanya.

Najib berkata wajaran yang akan pegawai penilai berikan ialah 15 peratus daripada keseluruhan kriteria kecemerlangan.

Sarawak sedia hadapi banjir


KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak telah mengenal pasti 600 lokasi pangkalan hadapan di seluruh negeri bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata laporan penuh mengenai persiapan banjir telah dibentangkan pada mesyuarat jawatankuasa bencana negeri yang dipengerusikan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang baru-baru ini.
Bagi JKM, persiapan katanya bukan sahaja melibatkan lokasi pangkalan hadapan tetapi juga dari segi pembekalan makanan yang akan disimpan di semua 600 pangkalan hadapan.
“Persiapan di pangkalan hadapan penting bagi membolehkan bekalan makanan dihantar dengan segera ke pusat pemindahan mangsa banjir atau terus ke rumah-rumah mangsa yang tidak berpindah.
“Bekalan yang kita simpan di pangkalan hadapan meliputi beras, gula, teh atau kopi, makanan dalam tin, mi segera serta biskut mengikut berapa bilangan keluarga serta berapa paket yang perlu disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada jamuan tengah hari bersama golongan memerlukan serta kurang bernasib baik anjuran Majlis Kebajikan Sosial dengan kerjasama Restoran Absolute Tribal di restoran berkenaan.
Tambah Fatimah, meskipun Jabatan Meteorologi meramalkan hujan turun seperti biasa dan tidak berlakunya banjir besar namun persiapan masih perlu dilakukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
Sebagai contoh, banjir kilat yang berlaku di Miri baru-baru ini dan JKM bukan sahaja bersedia dari segi bekalan makanan di pangkalan hadapan tetapi juga bersedia menghantar makanan yang telah dimasak.
Dalam pada itu pengalaman tahun lepas menyaksikan ramai individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menderma membantu meringankan bebanan mangsa banjir terutama dari segi ubat-ubatan, pakaian dan keperluan-keperluan lain.
Pada masa yang sama, khidmat sukarelawan juga penting bagi memastikan kesejahteraan mangsa banjir diberi perhatian sewajarnya.
Persiapan banjir telah dimulakan sejak Oktober lepas dan semua bekalan makanan di pangkalan hadapan mampu bertahan selama seminggu.

Pembantu rumah warga Indonesia ditemui mati tergantung.


KUCHING: Seorang pembantu rumah warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan tergantung di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Foochow No 1B, di sini, semalam.
Mangsa dikenal pasti sebagai Kholilah Abdul Razak ditemui tergantung dengan menggunakan kain pada pemegang tangga di bahagian ruang tetamu rumah berkenaan.
Menurut sumber, wanita berusia 41 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak bernyawa sekitar jam 3.30 pagi oleh seorang penyewa di rumah berkenaan.
Penyewa tersebut keluar dari biliknya selepas mengesyaki sesuatu tidak kena mungkin berlaku apabila mangsa tidak menjawab meskipun dipanggil berulang kali oleh majikannya, wanita warga emas berusia 79 tahun.
Difahamkan, kontrak mangsa tamat semalam dan mangsa dijadualkan dihantar balik ke agensi pekerjaan pada hari yang sama.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat sebelum urusan penghantaran pulang ke negara asal.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.