KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengumumkan 26 pemain skuad Sarawak bagi menghadapi saingan Liga Super pada musim depan.
Daripada jumlah tersebut, sembilan merupakan muka baharu termasuk penampilan tiga pemain import asing.
Mereka ialah Alireza Abbasfard, 32 (penyerang/Iran), Milorad Janjur, 31, (penyerang/Serbia) dan Gabor Gyepes, 32 (pertahanan/Hungary).
Manakala pemain import tempatan baharu terdiri ialah Akmal Rizal Ahmad Rakhli, 31, (penyerang), Reshafiq Alwi, 31 (tengah), Mohd Lot Abu Hassan, 29 (penyerang), Mohd Rashid Aya, 22 (penyerang), S Chanturu Suppiah, 25 (sayap) dan Mohd Fadzley Abdul Rahim, 26 (penjaga gol).
Pemain yang dikekalkan ialah Joseph Kalang Tie, Sani Anuar Kamsani, Aidil Mohamad, Junior Eldstal, Ronny Harun, Mafry Balang, Zamri Morshidi, Shahrol Saperi, Hairol Mokhtar, Muamer Salibasic, Mazwandi Zekeria, Muhammad Dzulfadli Awg Marajeh, Rames Lai Ban Huat, Dalglish Papin Test, Ashri Chuchu, Dzulazlan Ibrahim dan Azizan Saperi.
Presiden FAS Datu Sudarsono Osman membuat pengumuman tersebut semasa sidang media di Stadium Negeri semalam.
“Saya yakin gabungan pemain baharu dan lama akan menjadikan skuad ini mantap sekali gus mampu memberi cabaran dalam saingan Liga Super 2014,” katanya.
Menurutnya, FAS juga telah mengambil keputusan menyenaraikan tiga pemain import dalam usaha memburu kejuaraan pada musim depan.
“Saingan Liga Super semakin kompetitif dan kita mahu skuad Sarawak mempunyai banyak pilihan terutama di bahagian serangan.
“Saya optimis kehadiran mereka akan membawa perubahan kepada skuad ini,” tambahnya lagi.
Menurut Sudarsono Sarawak akan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan di Batu Malang, Surabaya, Indonesia pada 7-20 Disember depan.
Sarawak juaga akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad Sabah di Stadium Negeri (23 Disember) dan di Kota Kinabalu (4 Januari 2014).
Mereka juga bercadang untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang Kelab Szen Hua, China pada 11 Januari sebelum menjalani kem motivasi pada 13-14 Januari depan.
Dalam perkembangan lain, Sudarsono memberitahu Sarawak akan memperkenalkan sistem jualan tiket secara online.
Menurutnya, FAS akan bekerjasama dengan Mylink Sdn Bhd bagi membangunkan sistem tersebut dan dijangka beroperasi dalam masa terdekat.
“Saya harap sistem ini dapat menyelesaikan masalah berkaitan jualan tiket yang dihadapi sebelum ini.
“Setahu saya, Sarawak merupakan negeri pertama memperkenalkan sistem sebegini di Malaysia. Kita akan memaklumkan Persatun Bola Sepak Malaysia (FAM) agar sistem ini dapat dimulakan secepat mungkin.”
Beliau juga mengumumkan harga baharu tiket di mana tiket bermusim berjumlah RM1,500 (korporat), RM500 (teres berbumbung) dan RM300 (teres terbuka).
Harga tiket individu pula adalah RM35 (grandstand), RM20 (teres berbumbung) dan RM15 (teres terbuka).
Capaian untuk membeli tiket tersebut akan diletakkan dalam laman facebook atau laman web rasmi Sarawak Football dalam masa terdekat.