Nay Pyi Taw: Belumpun turun ke gelanggang, skuad pelayaran negara ke Sukan SEA ke-27 berdepan cabaran apabila pihak berkuasa Myanmar tidak membenarkan kontena yang membawa bot baru pasukan meninggalkan Pelabuhan Yangon.
Pengurus skuad pelayaran negara, Mohd Afendy Abdullah berkata, bot yang dibeli dari New Zealand tersadai di pelabuhan sejak seminggu lalu.
“Kita kini cuba menggunakan semua saluran yang ada untuk membolehkan kontena itu dihantar ke venue pertandingan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata, jika bot tidak sampai ke venue pertandingan sebelum esok, beliau bimbang ia bakal menjejaskan peluang skuad negara meraih pingat kerana pemasangan sesebuah bot baru mengambil masa tiga hari.
“Bot sewa yang digunakan untuk sesi latihan pada masa ini tidak sesuai untuk pertandingan selain pihak penganjur tidak menyediakan bot latihan khusus untuk kelas International 470.”
Mohd Afendy berkata, memandangkan penganjur tidak menyediakan bot khas untuk acara International 470, skuad pelayaran negara hanya turun menjalani latihan untuk kelas lain seperti Optimist, Laser, Windsurfing dan International 420.
Beberapa pasukan lain seperti Thailand, Singapura dan Filipina sudah tiba di venue pertandingan lebih awal untuk latihan penyesuaian.
Acara kapal layar akan berlangsung di Kelab Kapal Layar Ngwe Saung, Mandalay dari 13 hingga 20 Dis ini.
Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Myanmar Datuk Wira Amiruddin Embi berkata, dua daripada tiga kontena membawa bot skuad pelayaran negara sudah dibenarkan keluar dari pelabuhan untuk dihantar ke venue pertandingan.
“Kedutaan Malaysia di Myanmar kini menguruskan untuk membawa keluar satu lagi kontena secepat mungkin,” katanya