KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) akan mengumumkan skuad baharu Sarawak bagi menghadapi Liga Super 2014 pada sidang media hari ini.
Kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh FAS semalam menyebut pengumuman yang sepatutnya diadakan semalam ditunda ke hari ini ekoran masalah teknikal untuk mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain import baharu.
Penyerang dari Iran Alireza Abbasfard, 32, dan pertahanan dari Hungary Gabor Gyepes, 32, dikatakan hampir pasti diikat oleh FAS bagi musim depan.
Setakat ini, Sarawak telah membawa masuk enam pemain tempatan baharu iaitu Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Reeshafiq Alwi, Mohd Lot Abu Hassan, Mohd Rashid Aya, S Chanturu dan Mohd Fadzley Abdul Rahim.
Sarawak juga mengekalkan Joseph Kalang Tie, Sani Anuar Kamsani, Aidil Mohamad, Junior Eldstal, Ronny Harun, Mafry Balang, Zamri Morshidi, Shahrol Saperi, Hairol Mokhtar, Muamer Salibasic, Mazwandi Zakeria, Muhammad Dzulfadli Awg Marajeh, Rames Lai Ban Huat, Dalglish Papin, Ronald Denis, Ashri Chuchu, Azizan Saperi dan Dzulazlan Ibrahim.
Manakala pemain yang telah digugurkan dan berpindah ialah Bobby Gonzales, Azizan Baba, Mohamad Sahran Abdul Samad, Shahrul Abdul Malek, Guy Bwele, Fareez Tukijo, Ahmad Aminuddin dan Saiful Amar Sudar.
Dalam pada itu, skuad Sarawak meneruskan latihan di Stadium Negeri semalam sebagai persediaan siri jelajah ke Batu Malang, Surabaya, Indonesia pada 7-20 Disember depan.
Di sana, Sarawak akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan empat kelab tempatan iaitu Metro (10 Disember), Persebaya Surabaya (12 Disember), Arema Malang (15 Disember) dan Persipam Madura (19 Disember)