Thursday, December 5, 2013

Bakar rumah mertua

TAWAU 5 Dis. - Akibat krisis rumah tangga, seorang lelaki bertindak nekad membakar rumah keluarga isterinya hingga mengakibatkan adik iparnya melecur hampir 95 peratus di Taman Semarak, di sini pagi ini.

Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8.15 pagi apabila lelaki berusia 52 tahun itu dikatakan pergi ke rumah berkenaan untuk memujuk isterinya kembali ke pangkuannya.

Namun, pujukan lelaki itu ditolak wanita berkenaan sebelum suspek bertindak mengambil dua tong plastik berisi minyak petrol dari keretanya dan menyimbah hadapan rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah berkata, suspek kemudian bertindak menyalakan pemetik api sebelum adik iparnya, Darwin Tahang, 24, cuba menahan lelaki itu daripada berbuat demikian.

''Ekoran itu, Darwin tergelincir dan api terus marak menyambar tubuhnya sebelum diselamatkan anggota polis serta jiran," katanya di sini hari ini.

Tambah Awang Besar, bapa mangsa berusia 61 tahun turut melecur di kaki akibat terkena api ketika cuba menyelamatkan Darwin.

Katanya, Darwin kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Besar Tawau dan dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal.

Awang Besar berkata, siasatan awal mendapati suspek yang dalam proses perceraian pergi ke rumah berkenaan untuk berbincang dengan isterinya yang berusia 40 tahun.

"Namun, selepas perbincangan tidak berakhir dengan baik, suspek nekad mengambil minyak petrol yang dibawanya di dalam kereta sebelum menyimbahnya ke dalam rumah mangsa," katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai melarikan diri menggunakan kenderaannya sejurus selepas kejadian dan polis sedang menjejaki lelaki terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seskyen 307 Kanun Keseksaan atas dakwaan cubaan membunuh.