Thursday, December 5, 2013

Selangau sudah bersedia hadapi kemungkinan banjir

sekadar hiasan

SIBU: Persediaan telah dilakukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir di Selangau, termasuk mendapatkan khidmat ketua kaum dan tuai-tuai rumah bagi memaklumkan keadaan semasa di kawasan masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Datuk Joseph Mauh Ikeh berkata, sebuah pasukan yang diketuai oleh Pegawai Daerah Selangau juga telah ditubuhkan.
“Ketua masyarakat dan tuai-tuai rumah telah dimaklumkan bagi menyediakan anak-anak buah untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi sekiranya paras air naik dengan cepat dan membanjiri kawasan rumah mereka,” ujarnya ketika dihubungi, semalam.
Mauh berkata demikian ketika ditanya mengenai persediaan bagi menghadapi banjir yang mungkin berlaku di kawasan Selangau, termasuk di kawasan Tamin.
Beliau memberitahu, mereka juga telah mengenal pasti beberapa pusat pemindahan mangsa banjir di Selangau iaitu di SJK Tong Ah, Dewan Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) dan Gereja Saint Charles.
Bagi kawasan Balingian dan Arip, Mauh berkata, pusat pemindahaan adalah di SMK Ulu Balingian dan SK Bukit Arip, selain Dewan Masyara-kat Sekuau di Sekuau.
“Sebuah lagi pusat pemindahan mangsa banjir terletak di Stapang,” katanya sambil menambah kawasan Selangau kini masih bebas daripada sebarang ancaman banjir.
Meskipun hujan kadang kala turun berterusan di kawasan Selangau, jelas Mauh, namun keadaan di Selangau masih terkawal dengan paras air masih lagi rendah.
“Namun kita akan memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku,” tambah beliau