Monday, December 9, 2013

HAVOC..Lirik cara ‘muzik jalanan

Foto

‘Havoc’, single pertama di petik daripada album terbaru, Joe Flizzow memberikan impak yang cukup besar kepada kemunculan semula rapper terkenal itu.

Bersesuaian dengan judulnya yang turut diangkat sebagai tajuk album, Havoc menampilkan kolaborasi antara Joe dan dua lagi rapper cukup ‘talented’ iaitu Altimet dan SonaOne, kini menduduki carta nombor 1 di iTunes Malaysia.

Putarannya di radio juga ‘havoc’ di mana-mana saja stesen. Pun begitu di sebalik maklum balas positif yang diterima ahli kumpulan Too Phat itu, khabarnya ada pihak kurang senang dengan lirik yang digunakan kerana disifatkan mencemarkan bahasa ibunda hanya kerana penggunaan beberapa perkataan seperti ‘gua’ dan ‘lu’ selain bait ayat yang menggunakan bahasa Inggeris.

Joe saat diajukan soalan ini oleh wakil media mempunyai pendirian bahawa tindakannya itu tidak salah selain tidak perlu dijadikan isu.

“Kalau lagu Datuk Sheila Majid ‘Aku Cinta Padamu’ sebuah lagu yang cukup indah ditukar kepada ‘gua cinta padamu’ memanglah tidak kena dengan melodinya.


“Tetapi untuk lagu hip hop dan rap ia tidak menjadi masalah apabila menggunakan bahasa pasar kerana asal usul muzik itu sendiri adalah muzik dari jalanan. Saya juga lihat penggunaan bahasa yang digunakan untuk lagu ini adalah bahasa percakapan masyarakat zaman sekarang. Mungkin satu sebab mengapa Havoc mudah diterima kerana ia dekat dengan pendengar.

“Bagaimanapun, saya tidak menafikan perlu ada garis panduan tetapi sebelum mereka membuat tuduhan, dengar dulu keseluruhan album saya.

“Lagu Takbir Cinta yang menampilkan abang Amy Search, lirik yang ditulis menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu ‘standard’. Kesimpulannya, setiap lirik bersesuaian dengan konsep sesebuah lagu,” katanya ditemui pada majlis pelancaran Havoc yang diadakan di Lust KL, Jalan Nagasari, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Havoc album yang cukup istimewa buat Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 35, kerana ini album solo berbahasa Melayu pertama dihasil­kannya.

Kenapa baru sekarang?, Joe memaklumkan dia tidak mahu dilabel artis ‘urban’ kerana mahu karya yang dihasilkannya ini dapat dinikmati semua golongan.

“Ada kawan bertanya kenapa saya tidak menghasilkan album sepenuhnya berbahasa Melayu? Adakah kerana saya tidak boleh menyanyi rap dalam bahasa Melayu? Saya tanya semula kenapa?

“Kawan berkenaan memaklumkan kepada saya ramai yang melabelkan saya sebagai artis ‘urban’. Bercakap soal karya, saya tidak mahu hanya sekelompok atau golongan tertentu saja mendengar lagu saya.

“Tegurannya itu membuatkan saya terpanggil dan antara sebab mengapa album berbahasa Melayu ini terhasil. Bahasa Melayu adalah bahasa ibunda saya kerana saya orang Melayu. Saya tidak pernah malu menyanyikan rap dalam bahasa Melayu dan Havoc sebagai buktinya,” katanya.

Havoc adalah kesinambungan album President yang dilancarkan pada 2009. Menampilkan 14 lagu, album ini membabitkan kerjasama Altimet, SonaOne, Syaheed, Ajai, DJ Biggie dan Yasin.

Dua penghibur tersohor ditampilkan khas. Jika legenda rock, Amy Search berpadu suara menerusi lagu Takbir Cinta bersama Datuk Rossa juga penyanyi popular Indonesia, mereka berkongsi kreativiti melalui lagu Katakan.

Senarai lagu lain yang tidak kurang menangkap termasuk Ucapan Terakhir Presiden, Iller-Iller, Untukmu, Baek, Satu Kali, Lu Lari, Kongsi, Aku Tak Kenalmu, Apa Khabar, Air Mata dan Apa Benar.

Joe menambah, dia percaya album itu bakal menawarkan sesuatu yang baru dan dinamik kepada irama hip-hop Malaysia dari segi bunyi, bahasa dan gaya.

Selain itu, dia merancang untuk mengembalikan semula aktiviti promosi jelajah untuk album barunya itu di seluruh negara..