KUCHING: Biarpun orang ramai dibenarkan menangkap individu yang melakukan kesalahan, namun ia bukan keistimewaan kepada mereka untuk mengambil sebarang tindakan dalam bentuk kekerasan.
Pengarah Jabatan Pembanterasan dan Pencegahan Jenayah (JPPJ) Datuk Ayub Yaakob berkata, individu yang ditangkap sepatutnya segera diserahkan kepada polis dan tidak dicederakan.
Bagaimanapun, menurutnya, kekerasan hanya boleh dilakukan sekiranya untuk mempertahankan diri atau harta benda awam, namun perlu ada had tertentu.
“Kita memang menggalakkan kerjasama masyarakat dalam mencegah jenayah dan membantu kita menyelesaikan jenayah.
“Tetapi masyarakat perlu ingat dalam setiap tindakan perlu mematuhi undang-undang.
“Sedangkan kita apabila melakukan kekerasan berlandaskan peruntukan undang-undang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden seorang pemuda dipukul sehingga mati kerana cuba mencuri duit tabung masjid di Kuala Lumpur, Selasa lepas.
Ayub menjelaskan, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan beliau berharap insiden sama tidak berulang pada masa akan datang.
Sementara itu, Mufti Negeri Datu Kipli Yassin berkata, pihak pengurusan masjid tidak boleh mengambil sebarang tindakan berbentuk kekerasan biarpun berlaku kes kecurian di rumah ibadah tersebut.
“Sebenarnya orang ramai mengambil sikap sambil lewa terhadap masjid sehingga menyebabkan berlaku kes kecurian,” ujarnya.
Menurutnya, sepatutnya tabung masjid disimpan dalam keadaan selamat.
“Tabung masjid patut disimpan dalam keadaan selamat dan duit (tabung masjid) tidak boleh ditinggal terlalu lama kerana membuka ruang dan peluang kepada berlakunya kecurian,” jelasnya.
Hadir sama Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Sabtu Osman.