Monday, December 9, 2013

Sarawak sedia hadapi banjir


KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak telah mengenal pasti 600 lokasi pangkalan hadapan di seluruh negeri bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata laporan penuh mengenai persiapan banjir telah dibentangkan pada mesyuarat jawatankuasa bencana negeri yang dipengerusikan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang baru-baru ini.
Bagi JKM, persiapan katanya bukan sahaja melibatkan lokasi pangkalan hadapan tetapi juga dari segi pembekalan makanan yang akan disimpan di semua 600 pangkalan hadapan.
“Persiapan di pangkalan hadapan penting bagi membolehkan bekalan makanan dihantar dengan segera ke pusat pemindahan mangsa banjir atau terus ke rumah-rumah mangsa yang tidak berpindah.
“Bekalan yang kita simpan di pangkalan hadapan meliputi beras, gula, teh atau kopi, makanan dalam tin, mi segera serta biskut mengikut berapa bilangan keluarga serta berapa paket yang perlu disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada jamuan tengah hari bersama golongan memerlukan serta kurang bernasib baik anjuran Majlis Kebajikan Sosial dengan kerjasama Restoran Absolute Tribal di restoran berkenaan.
Tambah Fatimah, meskipun Jabatan Meteorologi meramalkan hujan turun seperti biasa dan tidak berlakunya banjir besar namun persiapan masih perlu dilakukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
Sebagai contoh, banjir kilat yang berlaku di Miri baru-baru ini dan JKM bukan sahaja bersedia dari segi bekalan makanan di pangkalan hadapan tetapi juga bersedia menghantar makanan yang telah dimasak.
Dalam pada itu pengalaman tahun lepas menyaksikan ramai individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menderma membantu meringankan bebanan mangsa banjir terutama dari segi ubat-ubatan, pakaian dan keperluan-keperluan lain.
Pada masa yang sama, khidmat sukarelawan juga penting bagi memastikan kesejahteraan mangsa banjir diberi perhatian sewajarnya.
Persiapan banjir telah dimulakan sejak Oktober lepas dan semua bekalan makanan di pangkalan hadapan mampu bertahan selama seminggu.