KUCHING: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sara-wak akan meneliti dakwaan penduduk di utara negeri ini yang membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kakitangan JPN Miri yang berlaku pada bulan lepas.
Pengarah JPN Negeri Datu Abu Bakar Mat berkata, ia bagi memastikan mereka yang memohon itu adalah warganegara yang benar-benar layak mendapat dokumen pengenalan diri.
“Sekiranya mereka benar-benar layak permohonan akan diproses dengan cepat, bagaimanapun kita belum pasti mengenai kes ini kerana tidak ada maklumat (teliti).
“Biasanya, kalau mereka yang datang membuat permohonan berulang kali datang, ia mungkin kategori bukan layak kerana sebab tertentu atau luar dasar kita,” katanya kepada pemberita pada wawancara bersama media di pejabat JPN Negeri di sini, semalam.
Pada 23 November lepas akhbar menyiarkan lebih 200 penduduk dari kawasan Baram merangkumi Marudi, Bakong, Tutoh Apoh serta Lawas dan Bintulu membuat laporan polis di Balai Polis Pusat di Miri kerana kakitangan JPN Miri sering menolak permohonan mereka untuk mendapatkan MyKad dan sijil lahir.
Berikutan itu, sebanyak 10 laporan polis telah dibuat oleh penduduk terbabit yang antara lain mendakwa terlalu banyak kerenah birokrasi di JPN Miri.
Tambah Abu Bakar, pada kebiasaannya warganegara tidak mempunyai masalah dengan mengikut prosedur di mana sekiranya layak dan dapat disahkan maka dokumen pengenalan diri akan dikeluarkan.
“Kita akan kaji perkara ini bagi memastikan mereka terbabit benar-benar layak mendapat dokumen pengenalan diri,” katanya.