SIBU: Pencuri dipercayai sempat makan dan mencuci pinggan mangkuk selepas memecah masuk rumah milik seorang guru yang sedang bercuti ke Semenanjung Malaysia.
Dalam kejadian pada jam 5 petang kelmarin, pengadu, 31, ternampak seekor kucing belaannya masuk ke rumah jiran yang juga rakan sekerjanya.
Keadaan tersebut menimbulkan tanda tanya pada dirinya bagaimana kucingnya dapat memasuki rumah jirannya sedangkan semua pintu sudah dikunci oleh jirannya sebelum itu.
Bimbang kerana mengesyaki rumah tersebut sudah dimasuki pencuri, pengadu menghubungi suaminya yang ketika itu tidak berada di rumah.
Pengadu dan suaminya kemudian menghubungi pihak polis yang tiba di situ untuk memeriksa keadaan di rumah berkenaan.
Setelah memeriksa rumah tersebut dari luar, mereka mendapati tingkap kaca tandas rumah tersebut telah dibuka.
Pengadu kemudiannya menghubungi pemilik rumah tersebut, iaitu seorang lelaki berumur 25 tahun untuk memberitahu bahawa rumahnya telah dipecah masuk pencuri.
Selepas diperiksa, polis dan pengadu mendapati sebuah pemain DVD, cakera keras dan wang tunai lebih RM100 dipercayai dilarikan oleh pencuri.
Menurut pengadu, beberapa pelajar yang mengikuti kelas tuisyen di rumah jirannya turut membantunya memeriksa keadaan di dapur.
Setelah mendapati pinggan mangkuk di situ tidak disimpan di tempat asalnya, mereka percaya pencuri sempat makan, malah mencuci pinggan sebelum beredar.
Kes tersebut dilaporkan di Balai Polis Sentral pada hari sama.