Menurutnya, pemain tersebut ialah Alireza Abbasfard (Iran/penyerang) dan Gabor Gyepes, 32, (Hungary/pertahanan) mempunyai kualiti yang amat diperlukan bagi memantapkan pasukan menghadapi saingan Liga Super 2014 nanti.
“Saya yakin dengan kemampuan kedua-dua pemain ini. Mereka mempunyai kemahiran serta kualiti yang kita perlukan dan pantas menyesuaikan diri dengan corak permainan di sini.
“Saya juga yakin ini adalah pilihan terbaik bagi Sarawak namun terserah kepada FAS sama ada mahu menerimanya atau tidak. Apapun, saya pasti persatuan (FAS) juga sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan hanya yang terbaik bagi pasukan Sarawak musim depan,” katanya di sini semalam.
Kedua-dua pemain tersebut mencuri tumpuan Alberts semasa perlawanan ujian bersama dua lagi pemain import di Stadium Negeri, minggu lalu.
Alireza dan Gabor dilihat hampir pasti menyertai Ngap Sayot musim depan berdasarkan penilaian positif oleh Alberts.
Namun, beliau masih menaruh harapan agar FAS turut menyenaraikan pemain muda dari Belanda, Ronald dalam pasukan Sarawak musim depan.
Ronald yang turut serta pada pada perlawanan ujian minggu lalu berjaya mencuri tumpuan Alberts dengan aksinya yang cukup lincah di posisi tengah.
Nasib beliau bersama Sarawak bagaimanapun akan ditentukan hari ini.
Berbekalkan status selaku penyerang kebangsaan Iran, Alireza dilihat calon paling layak untuk digandingkan dengan Muamer Salibasic di bahagian serangan.
Kepantasannya mengelecek serta kawalan bola yang menarik pastinya menjadi aset berguna bagi pasukan Sarawak kelak.
Manakala Gabor yang pernah menyarung jersi Portsmouth akan menggunakan kelebihan ketinggiannya untuk membentengi gawang Sarawak.
Alberts berkata, FAS dijangka mengumumkan senarai penuh pemain hari ini sebelum berlepas menyertai siri jelajah ke Batu Malang, Surabaya, Indonesia pada 7 hingga 20 Disember ini.
Ditanya mengapa Indonesia menjadi pilihan siri jelajah itu, Alberts berkata negara itu mempunyai fasiliti seperti padang bola sepak yang baik.
“Tambahan, bukan mudah untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Semenanjung Malaysia yang turut sibuk dengan persiapan masing-masing,” katanya.
Liga Super akan bermula pada 17 Januari 2013.
Sementara itu, Alberts melahirkan rasa bangga dengan kejayaan Junior Eldstal merangkul Anugerah Pemain Harapan Terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2013 di Shah Alam pada 30 November lalu.
Beliau yang bertanggungjawab membawa Junior menyertai Sarawak berharap kejayaan itu akan menjadi inspirasi kepada pemain-pemain muda lain agar terus berusaha meningkatkan kualiti dan kemahiran masing-masing.