MANCHESTER - David Moyes berdepan mimpi ngeri apabila Manchester United tumbang 0-1 kepada bekas pasukannya, Everton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di tempat sendiri, semalam.
Bryan Oviedo menewaskan penjaga gol United, David De Gea pada lewat minit untuk membolehkan Everton pulang bersama tiga mata di Old Trafford.
Kekalahan itu meletakkan kedudukan United semakin buruk apabila jatuh ke tangga kesembilan liga dengan 12 mata di belakang pendahulu, Arsenal.
Malah sejurus tamat perlawanan, laman web bola sepak terkenal Britain, CaughtOffside mendedahkan, ahli lembaga United sudah mula mengadakan perbincangan mengenai langkah kecemasan yang bakal diambil seandainya penyandang juara itu gagal layak Liga Juara-Juara Eropah, musim depan.
Biarpun sebahagian besar pemegang saham memberi sokongan kepada Moyes, namun mereka menyuarakan kebimbangan terhadap aksi buruk pasukan itu musim ini. United hanya mengutip dua mata daripada tiga perlawanan terakhir Liga Perdana selepas seri 2-2 dengan Cardiff City dan Tottenham.
Moyes, jurulatih yang dipilih sendiri oleh Alex Ferguson untuk menggantikannya memegang tugas berat untuk memastikan pasukan itu mampu menamatkan kempen dalam kelompok empat teratas.
Biarpun semuanya tampak tidak memihak kepada United ketika ini, namun Moyes menegaskan, peluang pasukannya untuk mencabar kejuaraan tidak boleh dinafikan kerana saingan Liga Perdana Inggeris masih panjang.
Saya sangat kecewa. Kami memerlukan nasib yang lebih baik tetapi ia tidak berlaku. Everton membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang bagus.
Perjalanan masih jauh. Kami perlu mempamer aksi hebat, selain cuba untuk meraih kemenangan dalam banyak perlawanan," ujar Moyes. - AGENSI